CHOMEYL thinker to create CHOMEYLNESS among other CHOMEYLIERS

If you would not want to be forgotten as soon as you are dead, either write things worth reading or do things worth writing --> Benjamin Franklin

This blog is best viewed with Mozilla Firefox and Google Chrome

Thursday, 6 December 2007

HATI DAN KEPERITANNYA

Mega merah ungu yang indah di dada langit menjadi medium perantara di mana sekeping hati mampu berbicara seenaknya tanpa menyedari segala yang berlaku di sekeliling. Aku berjalan perlahan merentasi taman bunga Avila yang di penuhi daun-daun ‘maple’ kekuningan yang bertaburan di tanah. Pohon-pohon itu semakin togel setiap kali angin bertiup. Kesejukan musim sejuk mencengkam sehingga ke tulang hitamku meskipun tubuhku telah dibaluti jaket tebal.


Aku memandang ke depan, ke arah teman-teman sekelas yang sedang bergambar mengabdikan kenangan. Kami memilih Avila sebagai destinasi untuk menghabiskan cuti sempena perayaan Halloween. Perjalanan dari Madrid ke Avila memakan masa sejam setengah menaiki keretapi Renfe. Junpei melambai-lambaikan tangannya ke arah aku, mengajak untuk menyertai mereka dalam sesi bergambar tak rasmi itu. Pelawaan jejaka kacak dari Jepun yang sentiasa kelihatan bergaya itu tak mampu aku tolak.


Aku berlari-lari anak menyertai teman-teman lain, “zusammen photomachen”, jerit rakan-rakanku. Itu kata-kata dalam bahasa Jerman yang selalu kami tuturkan setiap kali ingin bergambar beramai-ramai. Sekurang-kurangnya pengajian di kota Munich selama setahun membolehkan kami menuturkan beberapa patah perkataan Jerman. Kini tinggal tak sampai setahun lagi untuk kami mengharungi sisa-sisa pengajian di kota Madrid pula.





Waktu sudah menjengah malam sesampainya aku di rumah. Kepenatan yang menguasai diri membuatkan akal mengarahkan tangan mencapai pizza dalam peti, memusing 5minit di ketuhar gelombang. Teringat pulak pada mak di kampung yang selalu merungut tentang kemalasan orang-orang bandar berpunca dari kemajuan teknologi. Aku tersenyum sendiri bila menyedari kebenaran kata-kata itu turut melibatkan aku selaku salah seorang penyumbangnya.


Menikmati pizza berperisa tuna sambil menonton rancangan tv dalam bahasa yang tidak sepenuhnya aku fahami membantu otak aku terbang jauh meninggalkan bumi Sepanyol ini. Hebat benar kuasa yang ada pada lelaki itu sehinggakan masa-masa terluang aku sarat
dengan ingatan-ingatan tentangnya. Sedangkan hakikatnya dia tak pernah aku temui dalam hidupku. Perkenalan kami bermula secara tak sengaja bila aku terbaca tulisannya dalam blog.


Kesunyian memaksa aku membaca apa saja yang aku temui di internet. Takdir menentukan mata ini singgah di laman blog tulisannya. Laman blog tentang fotografi itu turut menyelitkan isi tulisan yang menarik perhatian aku untuk menjadi pembaca setia. Hazrul akan memaparkan sekeping gambar saban minggu dan dari gambar itu, dia menulis perkaitan gambar itu dalam kehidupan. Sesuatu yang tak pernah terfikir oleh minda aku selama ini.


Tergambar jelas di ruangan mata aku gambar pertama yang aku lihat di blognya ialah gambar sebotol madu yang diletakkan di tepi sebotol racun tikus.


“Orang kata kalau kita tak merasa kepahitan dalam hidup, kita takkan dapat menikmati betapa berertinya setiap kemanisan yang hadir dalam hidup.

Aku mahu menjadi manusia yang mampu menilai perbezaan antara madu dan racun tapi aku takkan mungkin boleh menelan racun itu, lalu bagaimana pula aku bisa mengetahui betapa manisnya madu itu?”, itu nukilan Hazrul pada gambar tersebut.


Pertama kali membacanya aku merasa yang Hazrul sudah gila kerana ingin menelan racun sekadar untuk mengetahui betapa manisnya madu itu. Lalu aku kirimkan komen pada gambar itu, untuk membantah pendapatnya itu.


Dia membalas komen itu pada e-mel ku, memohon di beri ruang untuk dia berkarya seenaknya dan dia akan memberi ruang kepadaku untuk mengkritik sewenangnya juga, dengan syarat aku harus membaca setiap patah nukilannya berkali-kali agar maksud yang ingin disampaikan akan menjengah ke dasar hatiku.


Aku menarik nafas yang panjang sebelum kembali merenung gambar itu, membuka kotak fikiran untuk berfikir lebih jauh. Akhirnya aku tersenyum sendiri bila dapat memahami apa yang Hazrul ingin nyatakan.


Betapa selama ini manusia sering merasakan kepahitan itu sebagai unsur negatif yang merosakkan diri sehingga membunuh hati untuk menikmati indahnya kehidupan ciptaan Yang Esa.


Betapa insan sering terlupa yang mereka punya pilihan untuk mengharungi setiap keperitan itu, biar pun dipenuhi kepedihan tapi akhirnya apabila ia berlalu, kita akan menjadi orang yang lebih tabah.


Semoga selepas itu, perkara-perkara lain yang terjadi dalam hidup akan lebih di hargai dan di anggap manis kerana yang paling pahit itu sudah berlalu pergi, menjauh dari hidup”, aku kirimkan penilaianku terhadap gambar itu setelah puas aku menafsir nukilan kata-kata Hazrul.


Dan di sinilah bermulanya perhubungan tanpa nama ini. Aku akan menjadi pengunjung
setia blognya, bersedia untuk menafsir setiap paparan gambar yang di abadikan oleh kamera DSLR Hazrul. Kadang-kadang kami akan berhubungan di laman blognya, atau di e-mel dan selepas itu berlanjutan pula perbicaraan kami di yahoo masengger. Kali ini aku merasakan kata-kata mak sebelum ini tersilap, kemajuan teknologi sekurang-kurangnya menjadikan aku insan yang rajin ….. rajin menaip!


Sejak itu aku semakin menjadi seseorang yang selalu mengaitkan apa yang aku pelajari
supaya dapat aku aplikasikan dalam kehidupan. Terkesan dengan laman blog Hazrul, aku semakin ralit menafsir subjek-subjek kejuruteraan yang aku pelajari untuk aku ubah jua menjadi prinsip kehidupan. Apabila Prof Angel khusyuk menerangkan pembezaan demi pembezaan yang terdapat dalam ‘Navier Stokes Equations’ untuk mendapatkan penyelesaian bagi mengetahui kelakuan terma bendalir dalam skala micro electron, mindaku turut khusyuk memberitahu akal, “Jika kita meneliti sedalam-dalamnya dalam setiap permasalahan yang melanda, kita akan menemui penyelesaian nya walaupun permulaan suatu penyelesaian itu sendiri biasanya amat sukar dan penuh berliku”.


Gila.
Memang dunia ini penuh dengan hal-hal yang tak tercapai dek akal. Mana mungkin orang percaya, seorang pelajar sarjana dalam kejuruteraan aeronautik melihat Navier Stokes Equation, Boltzmann Theory,Newton Limit in Hypersonic Aerodynamic, Lagrange-Hamilton Method, dan berpuluh-puluh lagi teori lain sebagai aspek dalam kehidupan. Kadang-kadang aku tak pernah dapat memahami apa yang cuba di sampaikan oleh pensyarah-pensyarahku tentang kegunaan persamaan-persamaan ini tetapi aku mampu mengaitkan semua itu dari sisi lain yang langsung tak punya pengiraan kalkulator, sebaliknya lebih pada pengiraan hati dan akal dalam menafsir persekitaran.


Aku andaikan kegilaan pada akal aku berpunca dari Hazrul. Tapi dia bertegas menyatakan yang aku memang di lahirkan untuk menjadi seorang pemikir sepertinya. Sepatutnya aku mengambil pengkhususan kesusasteraan berbanding kejuruteraan. Aku tak pernah tahu apa yang aku inginkan dalam hidupku. Selama ini aku belajar kerana aku merasakan itu sebahagian dari tangungjawabku terhadap ibubapa ku. Malah, abah yang menyuruh aku memilih jurusan ini sewaktu aku mula-mula mengisi borang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda.


Sehingga kini aku percaya bahawasanya ada keberkatan pada setiap perkara yang aku lakukan demi memuaskan kehendak orang tua ku”, begitu penjelasan yang aku berikan pada Hazrul bila dia menanyakan tentang hal ini sewaktu kami berbicara melalui yahoo masengger.


“Hati kau sendiri tak pernah membantah kemahuan mereka?”, tanya Hazrul seakan tak berpuas hati dengan jawapanku tadi.


Kau sendiri sepatutnya maklum yang soal hati merupakan sesuatu yang subjektif. Kalau hati aku menolak tak bererti hal itu salah dan kalau hati aku menerima nya, tak bererti ia suatu hal yang benar bukan?”, jawabku pantas menjawab pertanyaannya.


Kau tak punya pendirian sendiri. Menurut kemahuan orang tua mu tanpa bertanyakan kehendak hati mu sendiri”, tukas Hazrul.


Haz, itulah pendirian aku. Apa yang orang tua ku fikir terbaik buatku, itulah yang hati aku percaya. Salahkah kalau aku mahu berpegang pada prinsip itu?. Apa selama ini kau tak pernah mengikut kehendak ibubapa mu? ” , aku menyoalnya pula.


Dia membisu buat beberapa ketika sebelum memberitahu yang dia perlu tidur kerana ada urusan penting awal pagi esok. Aku tak punya sebab untuk membantah alasannya ini kerana aku sedar perbezaan waktu 7 jam antara Malaysia dan Sepanyol di musim sejuk. Pekerjaannya selaku jurukamera bebas membuatkan waktu kerjanya tidak tetap seperti orang bekerja pejabat. Waktu kerjanya lebih fleksibel dan lebih bergantung pada tawaran yang diterimanya. Biasanya hasil kerja Hazrul lebih tertumpu kepada gambar-gambar pemandangan untuk slot iklan di papan-papan billboard.


Soalanku tergantung buat beberapa ketika dan aku juga tak mau membangkitkan hal itu sehinggalah suatu waktu dimana Hazrul sendiri berniat untuk menjawabnya.


Ayahku mencurangi ibu. Arghhh, sebetulnya perkataan mencurangi itu tidak tepat kerana dia menikahi perempuan itu secara sah. Cuma ibu merasa ayah encurangi nya kerana hal ini di lakukan di luar pengetahuan ibu ”.


Aku tergamam seketika, tidak tahu apa perkataan yang sesuai untuk membalas bicara Hazrul itu. Kebisuan aku memberi ruang pada Hazrul untuk terus menaip.

Waktu itu aku masih kecil. Pertengkaran demi pertengkaran antara ibubapaku menyesakkan otakku.

Aku akan mencapai basikal BMX ku, mengayuh selaju mungkin ke lorong kecil di belakang rumah, sehingga tiba di sebuah pokok ketapang yang sangat rimbun.

Aku akan berteduh di bawah rimbunan daun-daun itu, menulis apa saja keperitan yang aku rasai waktu itu.

Usai menulis, aku akan mengorek lubang kecil dan menanam luahan itu di dalam lubang, dengan harapan segala kepedihan yang aku rasai akan lenyap di telan tanah lembut di depan pohon besar itu.

Sejak itu aku memutuskan bahawa apa jua yang aku lakukan dalam hidupku, aku tidak perlukan pandangan orang lain kerana aku punya tanah lembut di pohon ketapang itu untuk aku kuburkan kesilapan-kesilapan yang mungkin akan aku lakukan.”, jelasnya panjang lebar.


Sekarang aku tahu dari mana kau beroleh kebolehan melihat, menafsir dan merasa objek-objek di sekelilingmu dengan hati.Keperitan itu menjadikan kau insan yang hebat Haz”.

Aku tak merasa yang aku hebat Hana.

Aku sekadar mahu meluah apa yang aku rasa kerana memendam semuanya akan membuatkan aku menjadi manusia berhati batu.

Keras tapi kosong, betapa kekosongan sebenarnya boleh membunuh hati, jadi aku lebih rela memilih untuk mengharungi keperitan-keperitan itu supaya akhirnya aku akan menghargai secebis kenangan manis.

Aku insan yang aneh tapi keanehan itu kau anggap sebagai personaliti yang menarik untuk membuatkan kau terus berhubung dengan aku, betul kan?”, gurau Hazrul bagi menutup mood syahdu yang sedang menyelubungi perbualan kami.


———————————————————————————————————–-----------------------

Semakin lama aku berhubungan dengan Hazrul, semakin aku hanyut dalam persoalan untuk lebih memahami hatiku. Suatu hal yang tak pernah aku tekankan selama ini. Kadang-kadang aku seperti terdengar suara halus yang membisikkan bahawa prinsipku untuk menuruti segala kehendak orang tua ku selama ini seakan suatu keputusan yang kurang tepat bagi hidupku. Tapi pantas pula akalku menyingkirkan suara itu jauh-jauh dari hati. Melihatkan pencapaianku dalam hidupku sehingga ke tahap ini, nyata sekali keputusan mereka belum boleh dikatakan silap. Aku tidaklah begitu cemerlang dalam hidupku tapi boleh di kira berjaya berbanding teman-teman sekolahku yang lain. Akalku meyakinkan aku bahawa prinsip yang aku junjung selama ini memang berasas.


Semakin menghampiri penghujung waktu pengajianku di kota Madrid ini, aku lebih banyak menghabiskan masa bersama teman-teman untuk menjelajahi tempat-tempat menarik. Kami sempat menonton ‘bull fighting’ di plaza de toros. Sejenis tradisi yang amat di gemari penduduk-penduduk Spain, melihat bagaimana hebatnya matador yang berdiri megah di tengah gelanggang kerana dapat membunuh lembu gila yang sudah lemah kerana pening selepas di ajak menggila di kiri dan kanan gelanggang.


Bila aku kirimkan gambar-gambar matador membunuh lembu kepada Hazrul, dia memilih
sekeping gambar untuk laman blognya. Gambar itu terpapar perbuatan si matador yang sedang mencucuk pedang, tepat ke atas kepala lembu itu dan menyelitkan nukilan,

“Ketidak adilan sedang berlaku. Begitu ramai yang menontonnya, begitu ramai juga yang menikmati ketidak adilan itu dengan gembira dan begitu sedikit yang dapat merasa ketidakadilan itu wujud….namun yang sedikit itu juga hanya mampu melihat tanpa mampu menentangnya”.

Usai majlis graduasiku di kota Madrid, aku pulang ke tanah air dengan transkript yang menyatakan aku sudah memperolehi ‘Double Master in Aeronautical Engineering’. Kesibukan memulakan tugas selaku pensyarah membataskan masa luangku. Aku memutuskan untuk berjumpa Hazrul buat pertama kali, bebrapa bulan selepas itu di Teluk Batik. Kami duduk di atas pasir pantai, mengarahkan pandangan pada air laut yang biru dan penuh mendamaikan.


Haz, seringkali aku merasakan langit ini akan menghempapku, bumi pun seakan semakin bergerak ke atas untuk mencuba bagi menyesakkan aku.

Terkadang aku jua merasa seperti sekeping telur di celah roti sandwich.

Terhimpit, terkepit, perit dan sesak seakan semua mengcengkam menjadi satu dan kini dari telur mata kerbau di celah roti sandwich, aku sudah bertukar menjadi ‘scrambled egg’, hancur lumat di saluti mayonis”, aku melontar bicara sambil mataku merenung laut yang terdampar di depan kami.


Hana, aku faham ada sesuatu yang sedang memenuhi kotak fikiranmu tapi aku tak mampu menurasnya lagi. Boleh kau jelaskan lagi?”, Hazrul menyoal sambil tangannya menguis-nguis pasir pantai dengan ranting kayu di tangannya.


Aku menarik nafas panjang-panjang sebelum mengalih kedudukanku sedikit untuk memudahkan Hazrul melihat ekpresi wajahku.


Abah menyampaikan perkhabaran yang aku sudah di pinang orang. Selepas itu, apa yang aku dengar dari mak, segala nya sudah di uruskan.

Mak turut meluahkan kata-kata penuh keyakinan yang lelaki ini mampu memahami aku dan mampu membahagiakan hidup aku”, berat bicara itu meluncur dari bibirku dan kolam mataku serasa panas bergenang air mata.


Hana, cuba kau lihat batu,pasir dan ombak di pantai ini”, tangannya mengunjur kearah objek-objek tersebut.


Aku mendongakkan pandanganku, menuruti telunjuk tangannya.

Aku ibarat pasir pantai ini, dan kau ibarat ombaknya.

Hujan, panas, ribut atau taufan, pantai akan tetap setia menunggu ombak menghempasnya, setia teguh menunggu di situ kerana pantai yakin ombak tetap hadir. Orang tua mu ibarat batu-batu itu, membuatkan alunan ombak menjadi termusnah sebelum ombak sempat mengunjungi pasirnya.”, seperti biasa Hazrul akan mengaitkan persekitaran dalam bicaranya.


Aku tak punya hak dalam hati dan hidup kau.Tapi aku yakin kau dah cukup memahami apa yang kita bincangkan selama ini tentang hati dan keperitan yang akan di lalui oleh sang hati dalam proses kehidupan.

Buatlah keputusan kali ini berdasarkan kata hati mu.


Apapun keputusan yang kau ambil, aku tetap disini, setia teguh untuk tidak akan memusnahkanmu”,Hazrul menyambung bicara sebelum bingkas bangun, tersenyum memandangku dan dengan perlahan berlalu pergi dari sisi aku.

------------------------------------------------------------------------------------------------------

Penantian suatu siksa yang tidak tertanggung oleh tubuhku yang kering dan layu. Kepastian suatu penawar dalam suka dan duka yang meniti hidupku.”, suara suamiku menyanyikan lagu Penantian dendangan kumpulan Harmoni kedengara sayup-sayup dari arah bilik mandi.


Aku tersenyum sambil merenung gambar perkahwinan kami. Aku punya banyak sebab untuk tersenyum kerana hal yang berlaku tika dan detik ini, tak perlu membuatkan hati terasa perit dan dalam masa yang sama mengekalkan prinsip yang selama ini aku pertahankan. Aku berkahwin dengan insan pilihan orang tua ku yang juga dalam masa yang sama, insan pilihan hatiku….Hazrul si pasir pantai!


copyright: Yatie Chomeyl

Thursday, 2 August 2007

MA---I LOVE you


Menghadapi hari2 berseorangan sbg student jauh dr tanahair sendiri ialah satu cabaran yg xpernah aku fikirkan susah selama ni. Bagi aku study kat mana2 sama je…tp kira nya aku mmg dh silap besar. Selama aku wat degree kat USM dlu, klu ada apa2 problem…leh share dgn kwn2
baik yg sgt2 memahami wpon tanpa lafaz perkataan…yg paling penting leh share dgn ma…terus call ma and nangis2 cerita kat ma smp tenang hati…..

Aku tahu dgn kemajuan teknologi skrg aku leh chat dgn ma..sama je dgn kat msia dlu..ckp phone. Tp kat sini kalau tension xleh terus call sbb kene consider 6jam beza masa tuh..masa2 aku btol2 memerlukan ma mungkin ma tgh tdo.

Sepanjang bulan 7 kire nye cabaran plg getir aku rasakan sepanjang hampir setahun kat sini. Dengan exam yg bertimpa2..dgn projek semester thesis yg kena di siapkn..mmg sgt2 memeritkan. Sampaikan demam di buatnya semalam, bile supervisor lak bgtau byk gile kene wat correction utk thesis aku..sedangkan aku dh sibuk menghitung hari nk blk bercuti di msia…huhuhuuh

Penawar terbaik ialah suara ma..wpon aku tahu apa yg ma bg nasihat tu sbnrnye aku dh leh agak…tp aku ttp nk dgr sendiri dr mulut ma.
” Ma, t malas study la…palo otok teringat dumoh doh ni “……
” Jange la gitu…study la..so paper jah lg nok habis.. buatla projek tu molek,klu no cepat kelik gok”….

Sedar atau tidak…betapa tua pon umur kita, ma akan ttp smp bila2 pon menjd org yg plg penting dlm hidup…..

Sebelum letak phone..”ma,,,i love u…” ma pon jawab..”i love u too”

** menghitung hari pulang ke tanah air…10hr lagi **

Wednesday, 9 May 2007

GADIS DISUDUT ITU

Pertemuan pertama di Art Case Gallery masih segar di ingatannya. Mataku terpana memerhatikan gerak geri gadis itu, gemalai langkahnya tersusun satu persatu. Aku pasti yang aku tak pernah melihat gadis ini berkunjung ke mana-mana galeri lukisan lain mahupun galeri milik Raja Azhar Idris, pelukis terkenal di Malaysia ini. Gerak gerinya juga nampak agak canggung, “Barangkali ini kali pertama dia mengunjungi galeri lukisan”, otakku meneka sendirian. Aku mengorak langkah, menghampirinya yang masih asyik merenung lukisan di depannya.


“Maaf mengganggu, tapi apa yang kau nampak dari lukisan ini?”, aku memulakan bicara, menanti reaksi darinya. Matanya masih menatap lukisan bertajuk ‘Beware’ tanpa menoleh ke arahku.


oil painting by latif maulan
Beware! (copyright: Abdul Latif Maulan)

“Ehem..ehem”, aku mencuba lagi mengalih perhatiannya. Kiranya percubaan kali kedua ku berjaya.


“Saya tak pandai menafsir lukisan sebab saya bukan pengkritik seni ataupun pengumpul karya lukisan. Tapi saya tahu ada banyak cerita tersirat di sebalik lukisan ini. Banyak persoalan muncul,erm..contohnya apa pakcik tu buat kat taman permainan..kenapa selipar budak ni tinggal sebelah je?“…aduh,panjang bicaranya,lancar bibirnya berkata-kata,namun
matanya masih belum singgah ke wajahku.


“Kau peminat Abdul Latif Maulan?“,tanya ku lagi.


“Siapa?“, soalnya kembali.


Pelukis untuk lukisan-lukisan yang kau tengok di pameran hari ni“, aku menjawab, nada suara ku sedikit jengkel kerana agak sensitif apabila pelukis pujaanku seperti diperlekehkan oleh gadis ini.


Dia menoleh sejenak ke arahku lalu matanya menatap risalah di tangannya yang tertulis ‚’ABDUL LATIF MAULAN: PARALLEL UNIVERSE ~ FIRST SOLO EXHIBITON 7 June 2006 -16 July 2006’, setelah terarah oleh jari telunjukku.


Oh, sebenarnya kawan saya yang hadiahkan tiket ini sebagai hadiah hari lahir, sebab tu saya datang. Saya kena berterima kasih dengan dia, hadiah ini mungkin hadiah paling tak ternilai dalam hidup saya“, luahnya jujur.


Aku merasakan kejujuran itu terpancar dari wajah kudusnya. Wajahnya tidak secantik Erra Fazira, bicaranya tidak selembut Siti Nurhaliza, suaranya juga tidak semanja Ella, tapi ada aura pada dirinya menarik aku untuk lebih mengenalinya.


Dia melangkah pula ke lukisan ’Silhoutee Journey’,lama dia merenung lukisan itu. Aku tak berniat mengganggunya lalu aku mengambil keputusan berdiam,memberinya masa menilai karya itu. Bergenang kelopak matanya, cepat-cepat dia menyapu setitis air mata yang mengalir di pipinya apabila tersedar yang aku masih di sebelahnya.


“Ini lukisan tentang kes realiti yang pernah jadi dulu kan?“, tanyanya merujuk kepadaku. Aku mengangguk setuju.
Paparan seorang wanita berseorangan di dalam bas, dan bayang-bayang hitam di bahagian tempat duduk belakang seperti sedang merenungnya tajam. Satu keluhan panjang kedengaran,“tak baik mengeluh“,aku menegurnya.


latif maulan pelukis malaysia
Silhoutte Journey (copyright:Abdul Latif Maulan)

Kekaguman terbit lagi dari hatiku. Bukan calang-calang orang mampu menafsir karya ini kerana karya Abdul Latif Maulan biasanya dikaitkan dengan sesuatu tersembunyi di sebalik yang nyata di mata. Dia tersenyum manis, menampakkan lesung pipit di pipi kirinya. Sungguh aku tak pernah merasakan tarikan sebegini, malah gerakan jari jemarinya membetulkan tudung di kepalanya pun nampak indah di mataku sehingga aku merasakan seperti mendengar alunan suara Ray Charles menyanyikan lagu What A Wonderful World. Mabukkah aku hasil air setan yang aku teguk malam tadi? .“Gadis ini biasa saja, tiada yang menarik lalu mengapa aku mengaguminya?“, suara hatiku bermonolog sendiri. Aku mencuri pandang lagi pada wajahnya, kulitnya putih kuning, hidungnya tidak mancung tapi tidak juga penyek, badannya tidak kurus tapi tidak juga gemuk, penampilannya tidak terlalu bergaya tapi tidak juga terlalu kekampungan…mungkin kesederhanaannya yang memikat.


Aku memejam mata, cuba memahat wajahnya dan gayanya kukuh di ingatanku, agar dapat aku abadikan ke layar kanvas selepas ini. Aku membuka mata,dan dia telah tiada di depanku. Cepat-cepat aku berlari mencarinya sehinggakan aku hampir terlanggar Shahimah, isteri pemilik galeri ini. Tak mungkin sepantas itu dia hilang. Akhirnya aku terpandang gadis itu di satu penjuru galeri, sedang menjawab telefon. Barangkali tidak mahu mengganggu tumpuan pengunjung lain lalu dia memilih penjuru sunyi itu. Ku potretkan detik itu di mindaku, mencurah curah ilham untuk mengabadikan gerak geri gadis ini.


Usai menjawab panggilan itu, dia bergerak terus ke pintu keluar. Aku berlari lagi,mengejarnya yang semakin jauh dari pandangan. Aku menarik tangan kirinya sebelum dia melintas jalanraya, dia menoleh pantas dan tangan kanannya juga pantas menampar pipiku. Berpijar dan panas aku rasakan..rasa pekak sekejap gegendang telingaku, mengalir
darah merah di penjuru bibirku. Wajahnya serba salah sebaik dia sedar niatku untuk mengelakkan dia dari menjadi mangsa ragut lelaki bermotosikal yang hampir-hampir berjaya meragut tas tangannya. Lelaki jahanam itu pantas memecut laju,menyelit di antara deruan kenderaan lain yang bertali arus.
Takpe, aku ok’, aku bersuara cuba meredakan kegusarannya.
Maaf awak, saya tak perasan, saya ingat orang yang berniat jahat tadi’, jawabnya yang barangkali masih terbawa-bawa dengan bebanan perasaan dari lukisan Silhoutee Journey tadi.


Aku menyambut huluran tisu dari tangannya,terpandang jari jemarinya,
erm…takde cincin lagi“, gumamku sendirian.
Apa?“,tanyanya.
Erm..kenapa kau nak cepat-cepat balik?. Banyak lagi karya yang kau tak tengok“, aku menyoal tanpa menjawab soalannya tadi.
Saya ada hal sikit, tapi saya akan datang lagi bila ada masa. Lagipun pameran ni sampai hujung minggu depan kan? Insya Allah, panjang umur, ada kelapangan saya akan datang lagi“, jawabnya sopan dan dia mengatur langkah ke tempat letak kereta. Dia menoleh sekilas ke arahku, “terima kasih banyak-banyak“, ucapnya lalu melangkah terus dan hilang dari pandangan mataku.


Aku masih terpaku di situ, terpesona dengan gerak gerinya sehinggalah aku tersedar dari lamunan bila bahuku ditepuk pensyarahku Suzlee Ibrahim. Beliau merupakan insan yang pernah bertanggungjawab membentuk bakatku sewaktu masih menuntut di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka,UiTM.
Dah habis mengkaji lukisan Latif ataupun Ayie dah dapat ilham untuk pameran solo sendiri pulak?“, tanyanya seperti dapat menuras isi hati ku ketika itu.


Aku sengih sambil melangkah kembali ke dalam galeri, aku mau berlama lama di sana, mengorek seberapa banyak ilmu yang mungkin aku boleh dapatkan dari pelukis-pelukis hebat lain. Minggu ini aku habiskan masa di galeri ini, menikmati dan menelaah hasil karya pelukis kontemporari yang aku kagumi. Aku melukis apa yang aku lihat, aku tak mampu menjadi pemikir yang tersirat seperti Latif yang mampu merakam dua warkah berbeza dalam setiap karyanya, tapi aku punya sedikit anugerah kurniaan Yang Esa, lalu aku gunakan untuk menyuarakan isi hatiku dengan coretan warna dan palitan garisan membentuk wajah di atas kanvas.


Kalau orang seusia aku mengagumi bakat Mawi, Yusry, Adam, Sofaz,Kristal …rasanya aku lebih mengagumi bakat Yusof Ghani, Prof. Datuk Raja Zahabuddin Raja Yaacob, Raja Azhar Idris, Muid Latif, Ahmad Shukri Elias, Prof. Madya Ramlan Abdullah, Intan Rafiza, Khalil Ibrahim, Ismail Latif dan ramai lagi pelukis-pelukis Malaysia yang hebat.


Karyaku lebih tertumpu kepada kehidupan kotaraya seperti ’my mom and I’(sepasang ibu dan anak membeli belah), ’how do he got it?’( lelaki muda berkereta mewah), ’60’s sibling’(sekumpulan adik beradik pencinta lagu 60-an sedang bermain gitar),’anak ikan’ (gelagat gadis muda di temani lelaki tua) dan ’gothic or ska or punk or i’m confused?’(kerenah belia sekarang dalam berfesyen) antara lukisan-lukisan yang pernah aku hasilkan.


Aku duduk di penjuru dinding yang pernah gadis itu berdiri. Cuba mengutip kembali sedetik memori itu, jariku pantas melakar nukilan itu di kertas putih ditanganku. Balik rumah nanti akan ku pindahkan lakaran awal ini ke kanvas besar.


Aku ke galeri ini saban hari, masih menunggunya dengan harapan, kadang-kadang terasa diri ini dungu, tak mampu bertanya nama nya. Hari ini hari terakhir pameran ini. Aku sudah menyiapkan sepuluh keping lakaran gadis itu di berbagai sudut galeri ini, lakaran gadis itu di jalanraya, lakaran tamparannya di pipiku, senyuman manisnya..aduh,aku diserang angau. Menanti sesuatu yang tak pasti, namun sekurangkurangnya aku mampu berkarya kembali. Karya terakhir yang aku hasilkan sebulan lalu masih mampu menanggung hidup bujangku.


Aku terkesima, diakah itu? Baju kurung biru bermotif bunga-bunga kecil menyerlahkan keayuannya. Jari ku pantas lagi melakar dan memotret gerak gerinya. Aku membiarkan dia menikmati lukisan-lukisan ’Open For Business’, ‘Toxic Waste’, ‘Forest Reserved’, ‘Belakang’, ‘Ulam Mencari Sambal’, ‘Fantasy Dream’ dan ‘One Way’ karya-karya Abd Latif Maulan.
Kali ini aku tak berniat mengganggu tumpuannya, walhal aku jua semakin asyik melakar gerak gerinya. Hampir 10 lakaran dirinya mampu aku hasilkan secara goresan biasa selama dua jam dia di galeri ini. Aku cepat cepat memasukkan kertas-kertas ini ke beg ’mortar’ku.


Dia menyedari kehadiranku selepas selesai tawafnya mengelilingi galeri itu. “So, macamana?“.
Berkerut sedikit dahinya mendengar soalanku, tapi pantas juga dia mengerti bila aku mengarahkan mata ku ke arah lukisan-lukisan itu. “Amazing artwork, lukisan yang kemas, penggunaan warna yang menekankan penceritaan, ringkas tapi penuh bermakna. Ibarat membaca yang tersembunyi dalam hidup di kotaraya ini. Perlu banyak berfikir, tapimaksudnya memang sampai terus ke hati“, jawabnya penuh keyakinan.


“Kau ni belajar seni atau sastera ke?“,berkerut lagi dahinya sebelum bibirnya mengorak senyuman.
“Saya pernah belajar aeronautical engineering dan sekarang saya jadi pensyarah dalam bidang yang sama. Salahkah orang tak de pendidikan seni sama-sama menikmati keindahan ini?“,tukasnya lalu memandangku menunggu jawapan.


Aku memang jenis manusia yang tak suka menjawab soalan,lalu kubiarkan soalannya tergantung dan menyoal lagi, “Ada ke aku cakap salah? Apa yang patut aku tahu tentang keindahan aeronautical engineering kau tu?. Terus terang aku tak pernah dengar pasal bendabenda ni. Kau boleh bawak kapal terbang ke?”.


Dia ketawa kecil, masih bersabar dengan kerenah aku yang banyak bertanya dari menjawab. “Saya belajar tentang rekabentuk kapal terbang, kelakuan kapal terbang masa tengah terbang, aliran aerodynamik udara, sifat kelakuan bendalir, kekuatan struktur bahan, menyelesaikan masalah secara sistematik, berapa geseran udara yang manusia kena tempuhi untuk berdiri tegak…itulah keindahannya“, jawapannya tegas dalam kelembutan.


“Aku tak nampak apa yang indah pun dalam apa yang kau ceritakan tu“, aku membangkang pendapatnya sekadar untuk mengheret dia dalam perbualan yang lebih panjang.


“Kapal terbang kena ikut graf penerbangan yang di hadkan oleh batasan batasan tertentu contohnya had kuasa engin, had daya angkat(lift), had suhu, had tekanan kabin, had tekanan dinamik dan had ketahanan struktur. Semua ni berkait dengan hidup juga, sebab setiap sesuatu dalam hidup ini ada batasannya dan peraturan yang telah ditetapkan untuk kita patuhi, tak kira kita suka atau tak.“, jawapannya kali ini membuat aku terkedu.


Betapa selama ini aku terleka dalam dunia ku sendiri. Terbayang di ruang mataku solatku yang terabai kerana asyik dengan layar kanvasku, berkurung seharian di studio, berjoli di kelab malam dengan hasil jualan lukisanku malah tanpa sedar aku melupakan had batasan yang telah ditetapkan dalam diri seorang muslim sepertiku. Aku sepatutnya mencontohi Dr. Sulaiman Esa yang merupakan pelukis Malaysia yang mempelopori seni lukisan kontemporari Islam dan sentiasa menyelitkan sedikit pendidikan dan pengajaran berguna dalam karyanya.


“Zahri Asyaari, saya memiliki salah satu karya lukisan awak. Saya memang mengagumi hasil kerja awak, dan saya yakin awak akan berjaya macam pelukis-pelukis terkenal lain. Barangkali lebih tersohor dari Van Goh, Da Vinci, Lippi ataupun Del Verrochio. Carilah ketenangan dalam hati awak bukan di tempat lain. Ketenangan itu akan memban tu awak
berkarya.“, tenang bicaranya satu-satu menusuk telingaku tembus terus ke jantungku.


Kali ini aku terdiam, tiada lagi soalan di benakku, huluran sampul merah jambu dari tangannya aku sambut. Dia berlalu pergi selepas memberi salam, meninggalkan aku tegak berdiri di sudut penjuru galeri itu. Sudut yang sama aku memehatikannya dulu, sudut yang sama aku melakar wajahnya dan sudut yang sama ini juga lah hatiku pecah berderai.


Aku meneliti muka depan kad itu, tertera gambar gadis itu di penjuru kanan dan di penjuru kiri gambar seorang lelaki yang seperti ku kenali.
Kata-kata di bahagian dalam merentap jantungku, ’Undangan ke majlis kesyukuran perkahwinan puteri kami Nur Cherrina Emilyia yang bertemu jodoh dengan Akmal Syukry’.


Akhirnya aku teringat, lelaki ini lah salah seorang dari pemain gitar dalam lukisan ’60’s siblings’ yang pernah aku hasilkan dulu. Aku ingat lagi lelaki ini dan adik-adiknya berhenti memainkan alat muzik apabila azan berkumandang, menunaikan kewajipan solat bersama adik-adiknya. Masih jelas juga lagi di ingatanku aku menolak ajakannya berjemaah dengan alasan pakaianku kotor dengan warna cat,dan dengan berhemah di hulurkan pakaian bersih buatku. Hari itu aku solat selepas sekian lama tidak sujud kepadaNya.
……………………………………………………………………………………………………………………………




“Jika ku tanya padamu manakah arah kiblatmu,apakah jawapanmu sama denganku? Satu rumpun budaya,satu akar bahasa, satu soalan nak ku tanya, adakah kita punya satu suara?“, lagu Satu Suara nyanyian Rausyanfikir yang berkumandang di Radio Tm FM mengembalikan aku ke alam nyata dan menghentikan lamunanku pada peristiwa tahun lalu.


Benarlah kata orang, insan seni jiwanya halus, mudah terasa, mudah juga terluka. Aku terluka kerana terlebih menyimpan rasa buat gadis itu, tapi aku juga terasa bahawasanya dia muncul untuk menyedarkan aku dari lena ku yang dulu.


Esok aku akan mengadakan pameran lukisan solo ku : ZAHRI ASYAARI ~ SINAR DALAM GELITA. Kali ini aku muncul dengan lukisan lakaran kasih sayang dalam kehidupan dan lukisan ’gadis di sudut itu’ bakal menjadi lukisan utama untuk majlis perasmian. Sesuatu yang pasti, aku sudah mengirimkan undangan istimewa buat pasangan Akmal Syaary & Nur Cherrina Emilyia!




Nukilan: yatie chomeyl

Wednesday, 3 January 2007

selamat hari raya aidiladha 2007

Seumur hidup,br sekali xcelebrate raya dgn famili,masa kat kmm dulu sbb diorg x bg balik.masa kat usm,wpon cuti sehari je,aku blk gak umah utk raya aji.wpon member2 lain bertungkus lumus wat projek CATIA,aku ttp balik qlate..then esoknya masa aku smp kat kampus,sume org serbu ketupat manis yg aku bwk dr qlate..heehehe..

sini raya ari sabtu..pg raya selalu nya salam dgn ma n abah..pg raya kat sini..aku online and chat dgn ma sambil nangis.. 

then,lps episod syahdu terus bersiap2 g umah wani(one of my classmate), utk smbt raya sama2.nsb baik gak umah wani besar..leh ajak dak2 msia lain dtg mkn.. 

kitorg msk menu nasi kerabu,mi kari,kuah kacang,bakar daging + ayam,puding roti..
Dscn1590

Dscn1591_1
Dscn1582
1st time msk nasi kerabu sendiri,asyik teringat kat ma je..mmg x sedap mcm ma msk..tp at least anak ma ni dh leh wat nasi kerabu sendiri kan?..hihi..
Img_1966_edited
Cimg2926
actually kat Munich ni cuma ada 5org je dak islam msia..so kitorg pun ajakla dak2 undergrad kat rosenheim dgn regensburg..nsb baik gak diorg dtg..happening sgt..at least xde la sedih syahdu tangkap leleh...smbl2 masak n makan,kirog psg lagu raya..(thanks to deja:aku guna cd yg ko bagi tu)
Dscn1603
Cimg2936
pastu hr ahad,famili aku online lg. then,tok2 sedara dgn mak2 sedara aku pon voice n webcam dgn aku gak..diorg lak tangkap syahdu smbl2 masak2 kat umah aku..aku pon syahdu r sekali lg..hehhe..Dscn1598
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...