Indikasi Cinta Milik Siapa    
    
   
 Cinta Melahirkan Rindu  
 Bayangkan  kita seorang pelajar yang jauh dari dakapan keluarga, sudah  pasti rasa  rindu akan timbul dikala terkenangkan mereka. Bahkan  tangisan  kerinduan mampu mengalir kerana rindunya kita kepada mereka.
  
 Bayangkan  pula kita seorang suami, sudah pasti merindui si isteri  jika lama  ditinggalkan. Lebih-lebih lagi bagi si isteri, yang lembut  hatinya  menangisi perasaan rindu yang bermain di hati.
  
 Begitu  juga anak muda yang dikaburi dengan kerinduan kepada  kekasihnya,  sehingga tidur tak lena, makan tak selera, mandi tak basah,  solat tak  khusyuk (kalau solat), hidup bagai tidak menentu.
     
 Bayangkan  pula kita sebagai ibu bapa, sudah tentu merindui gelagat  anak-anak  yang kita sayangi. Anak-anak yang jauh dari pandangan sentiasa  bermain  di fikiran kita, sentiasa memikirkan keselamatan mereka,  sentiasa  memikir kebahagian mereka, dan yang pasti sentiasa merindui  untuk  ketemu mereka.
  
 Mengapakah rasa rindu mampu muncul di hati sanubari kita?
  
 Cinta. Ya, Kerana cinta.
  
 Cinta yang melahirkan rasa rindu, kerana kerinduan tidak akan lahir tanpa ada kuasa cinta yang mengikatnya.
  
 Inilah  ketenangan yang pasti menghiasi hati kita ketika mengingati  sesuatu  yang kita cintai. Apatah lagi ketika mendapat tahu kita bakal   menjumpainya, bahkan jika couple sekarang, cukup hanya terdengar nama si dia, terus tergetar hatinya.
  
 Apabila terus menerus diingatkan tentang sesuatu yang kita cinta, rasa cinta dan rindu akan terus bercambah dan makin kukuh.
  
 Persoalannya  disini, jika teringat ibu bapa, anak-anak, suami atau  isteri, kekasih  hati, mengapa kerinduan mampu timbul dan kebahagiaan  kononnya dirasai?
  
 Sedangkan ketika kita menjauh dari Allah Ar-Rahim, tiada pun rasa rindu seperti rindu kita pada lainnya?
  
 Adakah kita lebih merindui sesuatu yang lain selain Allah?
  
 Ketika  mendengar ibu dan ayah akan datang menziarah kita, atau  mendengar  suami atau isteri sudah ingin pulang, mengapa terasa bahagia  sungguh  mengenainya.
  
 Sedangkan  ketika nama Allah yang dilaungkan tidak terasa apa-apa di  hati kita,  ketika perkara mengenai Allah disampaikan juga seperti ianya  berlalu  begitu sahaja, ketika kita mendengar ayat-ayat dari-Nya, tidak   bertambah rasa cinta dan rindu kepada-Nya?
  
 Namun, bila cinta yang lain datang menyapa, makin bertambah rasa cinta dan rindu di hati kita?
  
 "Sesungguhnya   orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah   gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah   iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal."  -  [QS Al-Anfal, 8:2]
  
 Muhasabah Cintamu....

  
 Tangisan Kerana Cinta
  
 Berapa  ramai antara kita bersedih dan menangis ketika kita makin jauh  dari  ibu dan ayah, menangis ketika anak-anak makin jauh dari kita,  menangis  ketika meninggalkan keluarga kita, menangis ketika kehilangan  sesuatu  barang yang dicintai, menangis ketika wang ringgit kita makin   berkurang, ketika harta dan perniagaan makin merugi, bahkan banyak lagi   kepentingan dalam kehidupan kita yang kita menangis tatkala ia makin   menjauh.
  
 "Dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan." - [QS Al-Fajr, 89:20]
  
 Namun,  pernah  tidak kita menangis kerana kehilangan cinta Allah, menangis  ketika  mengingati Allah, menangis ketika membaca ayat-Nya, menangis  ketika  makin menjauh dari Allah, menangis ketika bermaksiat dihadapan  Allah,  menangis ketika tidak mampu berkorban untuk Allah dan menangis  kerana  merindui Allah?
  
 Tidakkah  kita merasa hina kerana lebih sanggup menangisi sesuatu  keadaan atau  perkara, namun bila mengenai Allah kita tidak mampu  menangis? Adakah  cinta kita kepada yang selain dari Allah melebihi dari  tahap cinta yang  digariskan Allah?
  
 Katakanlah:  "Jika  bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu,  kaum  keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang  kamu  khuwatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah  lebih  kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di  jalan-Nya,  maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya."  "Dan Allah  tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik." - [QS  At-Taubah,  9:24]
  
 Cukuplah mencintai sesuatu yang lain melebihi cinta kita kepada Allah, Rasul dan Jihad.
  
 Sedarlah  cinta kita milik siapa yang paling utama. Bukan kepentingan  kita,  keluarga kita, kerjaya kita, kenderaan kita, rumah kita, masa  rehat  kita, tenaga kita dan harta kita, lebih kita pentingkan sehingga   mengorbankan kepentingan cinta kepada Allah, Rasul dan Jihad.
  
 Kita  wajib berkorban demi kepentingan cinta Allah, Rasul dan Jihad,  bukan  mengorbankan kepentingan cinta Allah, Rasul dan Jihad untuk  kepentingan  yang lainnya. Berkorbanlah demi cinta-Nya.
  
 Tangisan  cinta yang paling utama milik Allah, usahakan tangisan  kerana Allah  lebih kita utamakan berbanding tangisan kerana ciptaan-Nya.  Seperti  para sahabat yang bercucur air matanya tatkala tidak dapat  berjuang,  berjihad di jalan Allah.
  
 "Dan  tiada (pula) berdosa atas orang-orang yang  apabila mereka datang  kepadamu, supaya kamu memberi mereka kenderaan,  lalu kamu berkata: "Aku tidak memperoleh kenderaan untuk membawamu" lalu mereka kembali, sedang mata mereka bercucuran air mata karena kesedihan.." - [QS At-Taubah, 9:92]
  
 Inilah  tangisan yang sepatutnya, menangis ketika tertinggal tahajjud  kita,  dhuha dan quran kita, menangis ketika tidak dapat berkorban masa  dan  tenaga kerana Allah, menangis ketika cinta kita dirampas selain  cinta  kepada Allah.
  
 Muhasabah Cintamu...
  
 Kebahagian dan Ketenangan Cinta
  
 "Orang-orang  yang  beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah.   Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram." -   [QS Ar-Ra'd, 13:28]
  
 Inilah kebahagian dan ketenangan yang sepatutnya, jangan sampai hati kita lebih tenang ketika mengingat selain dari Allah. 
  
 Ramai antara kita lebih bahagia dan tenang ketika mengingati keluarga, harta kekayaan, kerjaya, pujian dan sanjungan manusia.
  
 Takutlah hati itu sudah dikotori, sudah dinodai dengan kebahagian lain yang tidak hakiki, yang pada pandangan manusia dan dunia pasti membahagiakan, namun pandangan Allah itu lebih utama.
  
 Kebahagian dan ketenangan sebenar hanya akan hadir bila kita mendekati Allah.
  
 Kepekaan  hati kita mungkin sudah makin cair ditelan arus keduniaan.  Kekadang  dosa yang dilakukan dianggap hanya seperti lalat yang singgah  dan mampu  hilang hanya dengan dikuis begitu sahaja, sedangkan kita  seharusnya  menganggap dosa dan maksiat itu laksana gunung yang bakal  menghempap  kita ketika melakukannya, laksana gunung berapi yang bakal  membakar  kita.
  
 Inilah kepekaan hati yang perlu kita asah bersama, hatta dosa kecil itu lebih kita takuti.
  
 "Dosa kecil lebih aku takuti dari dosa besar kerana ia tidak dapat dirasa kerana kekecilannya." - (Ibn Qayyim)
  
 Jangan  turuti hawa nafsu yang mengundang kepada dosa dan maksiat,  yang  mengundang kepada futurnya cinta utama dan yang akhirnya  menumpulkan  hati kita.
  
 "Mereka itulah orang-orang yang dikunci mati hati mereka oleh Allah dan mengikuti hawa nafsu mereka." - [QS Muhammad, 47:16]
  
 Indikasi Cinta Milik Siapa
  
 Setelah bersama menghayati rindu dan tangisan kerana kecintaan. Mari tepuk dada, tanya iman. Siapa sebenarnya cinta paling utama?
  
 "Dijadikan  indah pada  (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini,  yaitu:  wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas,  perak, kuda  pilihan, binatang-binatang ternakdan sawah ladang. Itulah  kesenangan  hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang  baik (surga)."  - [QS Al-Imran, 3:14]
  
 Adakah manusia lebih kita cintai dari Allah?
Adakah harta lebih kita cintai dari Allah?
Adakah kerjaya lebih kita cintai dari Allah?
Adakah kehidupan dunia lebih kita cintai dari Allah?
Adakah kenderaan dan kediaman lebih kita cintai dari Allah?
Adakah keseronokan hiburan lebih kita cintai dari Allah?
Adakah kenyamanan tidur lebih kita cintai dari Allah?
Adakah waktu rehat kita lebih dicintai dari Allah?
  
 Apa yang paling kita rindu bila kehilangannya?
Ke mana tangisan kita sering dicucurkan?
Inilah indikasi cinta kita milik siapa.
  
 Ayuh ikhwah dan akhwat sekalian, tidak ada insan suci yang tidak mempunyai masa lampau dan tidak ada insan berdosa yang tidak mempunyai masa hadapan.
  
 Tanamlah azam dan kesungguhan kearah yang lebih baik dan sentiasalah tingkatkan ia.
  
 Jadikan hari ini lebih baik dari semalam, dan usahakan esok hari agar lebih baik dari hari ini.
  
 Mari  muhasabah cinta kita bersama, letakkan kepentingan cinta yang  lebih  utama, nikmat-nikmat yang diberikan kepada kita perlu dicintai,  tapi  yang perlu dicintai adalah cinta kita kepada Pemberi Nikmat yang  lebih  utama.
  
 Muhasabah Cintamu...
  
 - Artikel iluvislam.com